Amarah
Karya : MyZulk
Sinar Suria pagi
memancar menembusi celah-celah dedaun mengenai lorong bertar itu. Sebahagiannya
memancar terus ke muka Razak. Menampakkan mukanya yang bengis. Misainya yang
bertaring, hidungnya yang agak besar dengan
wajahnya yang mencuka menonjolkan lagi kebengisannya.
Kiri, kanan lorong itu ditumbuhi
pepohon menghijau. Dari pepohon belukar renek yang agak jauh dari lorong
sehinggalah pepohon bunga serta pepohon jejawi yang tumbuh berselirat membentuk
rumpun-rumpun pokok sebesar pemeluk yang sengaja di tanam berhampiran lorong,
menambahkan lagi seri lorong itu. Razak tidak memperdulikan semua itu. Dia
terus melangkah.
“Kau tahulah
nanti .” Razak bermonolog. Seraya itu dia mengebam bibirnya sehingga ternampak
gigi hadapannya yang sumbing.
Tidak semena-mena wajah Cikgu Zailan
muncul di hadapannya. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu kelih akan muka Cikgu
Zailan walaupun sesaat tetapi bayangan
itu datang juga. Razak mengerut dan mencebikkan mukanya menampakkan lagi kebenciannya
kepada Cikgu Zailan.
“Manusia berhati busuk,” herdik Razak
tiba-tiba.
Seraya itu
dijegil matanya luas-luas. Matanya yang bulat itu nampak berurat-urat dan merah
menyaga. Marah sungguh dia. Baginya Cikgu Zailan tidak layak
bergelar seorang guru. Cikgu Zailan telah melanggar batasan sebagai seorang
guru. Tugas seorang guru hanya mengajar di dalam kelas, bukannya menjaga tepi
kain orang. Walaupun Cikgu Zailan tidak pernah mengambil kisah tentang
kehidupan rumah tangganya suami isteri tetapi mencampuri urusan harian anaknya
samalah seperti mencampuri urusan keluarganya. Urusan anak bini dan keluarganya
biarlah dia yang uruskan. Bukan orang lain. Jauh sekali Cikgu Zailan.
Dedaun
yang ditiup pawana yang datang sekali sekala melambai-lambai bagaikan mengajak
Razak mempercepatkan langkahnya. Razak membuka langkahnya lebih luas. Dalam
pada itu wajah Cikgu Zailan masih belum nyah dari ingatannya. Benaknya terus
berlegar-legar menyusun kata-kata yang akan diucapkan kepada Cikgu Zailan
nanti.
“Kamu
tidak layak mencampuri urusan anakku! Anakku sudah besar panjang. Tahulah
dia menjaga diri.”
“Ya, aku tahu anakku itu perempuan.
Tetapi dia bukan seorang yang lemah. Malah dia seorang murid yang pintar.
Walaupun tahun ini pelajarannya agak merosot tetapi tahun-tahun yang lalu dia
telah banyak kali mengharumkan nama sekolah. Cikgu pun tahu tentang hal itu,
bukan.”
Razak merenung tepat ke muka Cikgu
Zailan. Cikgu Zailan terus membatu.
“Biarkan, biarkan
dia membatu. Baru dia tahu siapa aku.” Tiba-tiba sahaja terpacul ayat demi ayat
itu dari mulut Razak. Marah sungguh dia.
Rumah
Cikgu Zailan sudah hampir benar. Razak bagaikan dipandu amarah terus menujah langkahnya
dengan lebih laju lagi. Sesekali dia menoleh ke belakang. Ke arah keretanya
yang diparkir agak jauh. Memang sengaja dia berbuat begitu. Dalam fikirannya
dia ingin memerangkap cikgu muda itu. Ingin dibalunnya cukup-cukup Cikgu
Zailan. Kemudian dia akan membiarkan Cikgu Zailan dalam keadaan tidak berdaya.
Dia akan senyap-senyap menyusup keluar
dari perkarangan rumah Cikgu Zailan. Biar jiran-jirannya tidak sedar akan
kehadirannya ke rumah guru muda itu.
Pap!
Tiba-tiba kakinya tersadung. Razak melayah sedikit ke hadapan. Badannya terhuyung-hayang. Langkahnya
menjadi sumbang. “Huh,” Razak merengus.
Cepat-cepat
dia membetulkan langkahnya. Nasib baik Razak tidak tersungkur ke tanah. Kalau
tidak alangkah malunya. Pedih dari kesan luka akibat tersadung terasa menyucuk-nyucuk. Sambil menahan sakit
bertambah mendidihlah darah Razak. Matanya yang sejak dari tadi telah tersedia
merah kini bagaikan bebola pawaka yang bisa menyambar dan membakar apa sahaja
yang melintas di hadapannya. Pawaka dari panahan matanya boleh membakar seluruh
semak samun di hadapannya. Kalaulah Cikgu Zailan secara kebetulan melintas di
situ, pasti musuhnya itu akan hangus rentung disambar pawaka dari panahan matanya.
Razak
mengetap-ngetap giginya. Dia memandang sekeliling. Sunyi. Hanya pokok-pokok
yang kelihatan. Pokok-pokok itu seolah-olah mentertawakannya. Seolah-olah suka
melihat gelagatnya semasa tersadung. Geram betul Razak. Sebatang pokok jejawi
sebesar dua pemeluk dan rendang menaungi
bumi di hadapannya itu seolah-olah tersenyum sinis melihat kelakuannya. Darah
Razak semakin mendidih. Marahnya semakin meruap-ruap. Tiada apa yang dapat
menahannya kali ini. Dia pasti akan mencurah seluruh kemarahannya kepada Cikgu Zailan. Akan diganyangnya Cikgu itu
cukup-cukup.
“Zailan,” tiba-tiba terpacul nama
itu dari mulut Razak. Suaranya yang kuat dan garau akibat geram itu bergema ke
segenap penjuru. Suara itu bukan disengajakan. Tetapi ia hadir dari minda bawah
sedarnya. Razak tidak pasti sama ada Cikgu Zailan mendengarnya atau tidak. Itu
tidak penting baginya.
Razak semakin mempercepatkan
langkahnya. Dia ingin segera sampai ke rumah Cikgu Zailan. Dia ingin segera melangsaikan apa yang
terbuku di hatinya. Biar Cikgu Zailan tahu siapa dia. Bekas tonto. Pukul orang
atau bunuh orang bukan masalah besar baginya.
Razak terbayang kembali zaman
silamnya. Zaman dia masih belia remaja. Waktu itu sebut sahaja
Razak Tonto, semua orang kecut perut. Taukeh-taukeh kedai, baik Cina, baik
Melayu, baik India semua gerun akan nama itu. Tugasnya mudah sahaja. Memungut
hutang daripada taukeh-taukeh yang liat membayar hutang. Sekiranya tidak dapat
bayar, Razak tidak teragak-agak untuk memukul atau mencederakan mangsanya.
Malah keluarga mangsa juga akan mendapat susah angkara Razak.
Razak
berhenti menjadi tonto setelah berkahwin dan punya anak. Anak tunggalnya,
Amira. Itupun setelah Amira diculik oleh orang yang berdendam kepadanya. Namun
dia bernasib baik kerana berjaya menyelamatkan Amira melalui konco-konconya
yang bertaburan di merata-rata tempat. Selepas peristiwa itu naluri kebapaan
telah menyekatnya daripada melakukan kerja-kerja tonto lagi. Dia ingin membina
hidup baru dengan keluarga tanpa gangguan. Sejak itu juga dia membawa keluarga
berpindah ke desa kecil ini.
Hayunan
kaki Razak bagaikan tidak terasa. Sekejap lagi pasti Razak akan sampai ke rumah
itu. Itu sudah pasti.
.
“Encik Razak, tujuan saya menjemput
encik datang untuk memberitahu bahawa sudah hampir seminggu Amira tidak ke
sekolah. Adakah sepanjang minggu ini Amira berada di rumah...? atau dia
sakitkah?” Razak terkejut mendengar penjelasan Cikgu Zailan, guru
kelas Amira. Dia seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata Cikgu Zailan.
”Tapi...
Tapi setiap hari dia ke sekolah cikgu.” Razak cuba mempertahankan anaknya.
”Walau
bagaimanapun saya akan siasat perkara ini.” Janji Razak kepada Cikgu Zailan.
Selang beberapa minggu kemudian
Razak dipanggil lagi ke sekolah. Dia hadir dengan separuh hati. Dia hampir pasti Cikgu
Zailan akan membebel fasal anaknya lagi. Dia telahpun bersedia dengan
jawapannya. Dia telah pun bertanyakan hal tersebut kepada anaknya. Amira memberitahunya bahawa dia tidak berminat
ke sekolah kerana tidak berminat dengan cara pengajaran Cikgu Zailan. Cikgu
Zailan terlalu tegas terhadap anak muridnya. Cikgu Zailan selalu membebel fasal
masalah moral anak-anak muda sekarang. Masalah moral tidak termasuk dalam isi
pelajaran Sains yang diajar Cikgu Zailan. Amira tidak suka bebelan begitu. Jiwa
mudanya mudah memberontak.
”Encik Razak, Amira telah pun datang
ke sekolah. Tahniah. Namun begitu saya berpendapat ada sesuatu yang tidak kena
pada Amira.”
”Kenapa cikgu?”
”Saya
dapati dia tidak memakai tudung lagi ketika hadir ke kelas. Peraturan sekolah
ini mewajibkan semua murid memakai tudung. Saya takut perkara ini akan menjadi
ikutan murid lain. Kami telahpun menegurnya tetapi dia membantah dengan
alasan emansipasi wanita. Pihak sekolah masih memberi peluang untuknya
berubah.”
” Tidak memakai tudung bukan satu
kesalahan, cikgu.”
”Ini sekolah aliran agama. Memakai
tudung diwajibkan kepada semua murid dan guru.”
”Ini sekolah agama. Mengajar tentang
Islam. Tentu guru-gurunya banyak pengetahuan tentang Islam. Takkanlah mereka tidak
tahu bahawa Islam tidak terletak pada tudung. Walaupun seseorang itu tidak memakai tudung, dia tetap Islam. Yang
penting hatinya. Islam terletak pada hati, bukan pada tudung.”
”Betul, Islam tidak
terletak pada tudung. Walaupun tidak memakai tudung, seseorang itu tetap Islam.
Tetapi hukum Allah mewajibkan wanita menutup aurat. Memakai tudung bertujuan
untuk menjaga aurat. Ini adalah perintah Allah dan rasulnya seperti firmanNya
dalam ayat AT-Taghabun 64:12 yang
bermaksud Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu
berpaling, sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan
(perintah-perintah) dengan jelas nyata. Pihak sekolah menetapkan
peraturan yang selari dengan kehendak Islam sebagai Ad-din.” Cikgu Zailan
seolah-olah berceramah kepada Razak. Bengkak hati Razak bila pendapatnya
ditolak mentah-mentah oleh Cikgu Zailan.
Cikgu Zailan terus menyambung ayatnya, ”Kesempurnaan Islam harus dikuatkan
dengan iman. Kesempurnaan iman terletak pada hati, perkataan dan perbuatan yang
mengesakan Allah. Iman akan luntur jika tidak menjaga asas kesempurnaan iman
iaitu hati, perkataan dan perbuatan. Kita harus yakin bahawa ketetapan Allah
itu benar. emansipasi wanita harus berlandaskan hukum Allah. Jika terkeluar
daripada hukum Allah, maka kita harus menolaknya.”
Merah padam muka Razak. Tidak disangkanya bahawa cikgu Zailan begitu petah
berhujah.
”Oh, ya... hampir saya lupa.. ! .
Ada murid yang ternampak Amira bergaul dengan budak-budak nakal selepas waktu
sekolah. Bila saya siasat, Amira akui dia menyertai budak-budak Black Metal.
Katanya untuk suka-suka. Saya lebih bimbang tentang perkara ini.”
”Kenapa cikgu perlu bimbang. Dia
anak saya, bukan anak cikgu. Lagipun kalau dia hendak berkawan dengan
sesiapapun, biarkanlah. Dia sudah besar. Sudah pandai menjaga diri. Dia tahulah
apa yang dilakukannya.” Marah benar Razak kepada Cikgu Zailan. Dia
mengetap-ngetap bibirnya beberapa kali. Suaranya seakan-akan tertahan-tahan
bila bercakap.
”Encik Razak, Usia Amira baru
separuh masak. Baru 16 tahun. Dalam usia yang rapuh begini dia mudah
terpengaruh dengan gejala-gejala yang tidak elok. Kita harus selamatkan dia.”
”Selamatkan dia! Apa yang hendak
diselamatkan?”
”Black Metal
merupakan salah satu wadah bangsa Yahudi untuk menyesatkan umat Islam. Mereka
menggunakan ’Star Of David’, lambang agama Yahudi dalam amalan ritual
mereka untuk memuja syaitan. Memuja syaitan bukannya amalan dalam Islam. Islam
mengharamkan umatnya memuja syaitan.”
”Amira tidak sampai ke peringkat
memuja syaitan. Saya tahu dia budak baik.
Asuhan agama yang saya beri telah mencukupi sebagai benteng untuk
mempertahankan dirinya. Saya tahu dia hanya berkawan untuk suka-suka sahaja. Dia
ingin tahu tentang dunia luar. Dia ingin menikmati globalisasi. Apakah itu
salah?” Jawapan Razak menyebabkan Cikgu Zailan terkejut pula.
Razak betul-betul
berada di hadapan rumah Cikgu Zailan kini. Lamunannya
terhenti apabila melihat kelibat Cikgu Zailan. Cikgu Zailan yang
sedang menebas rumput berpaling ke arah orang yang sedang menghampirinya. Dia
kenal benar akan orang itu. Tetapi gaya orang yang dikenalinya itu
menghampirinya menyebabkan dia terasa tidak sedap hati. Dia berdiri kaku
seolah-olah menantikan sebarang tindakan daripada Razak. Razak pula berdiri
mencekak pinggang hanya beberapa meter dari Cikgu Zailan. Mereka saling
berpandangan tetapi tidak seorangpun antara mereka bersuara. Razak mengangkat
tangannya. Jari telunjuknya dituding kasar ke arah Cikgu zailan. Belumpun suara
garaunya terkeluar dari kerongkongnya tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
Dia kaku seketika. Mungkin terkejut dengan deringan telefon yang mengganggu
amarahnya. Jarinya masih menuding ke arah Cikgu Zailan. Pada mulanya Razak
seolah-olah tidak memperdulikan deringan tersebut tetapi apabila deringan itu
berulang-ulang dia mengalah juga. Razak menyambut telefon bimbitnya dari dalam
kocek bajunya. Dia bercakap-cakap seketika melalui telefon. Suaranya agak
serius tetapi butir cakapnya tidak begitu jelas di telinga Cikgu Zailan.
Selepas bercakap Razak memasukkan semula telefon bimbitnya ke dalam kocek baju.
Razak
berhenti seketika tanpa berbuat apa-apa. Dia menarik nafas panjang. Kemudian Razak
memusingkan badannya dan terus beredar meninggalkan Cikgu Zailan yang
terkebil-kebil melihat gelagat Razak. Cikgu Zailan hairan melihat telatah Razak
yang datang dengan gaya seolah-olah ingin bergaduh dengannya tiba-tiba
meninggalkan halaman rumahnya tanpa sepatah perkataanpun setelah bercakap melalui
telefon. Cikgu Zailan berasa sungguh pelik tetapi dia sengaja membiarkan
keadaan terus berlalu begitu.
Razak terus memerhatikan Amira
anaknya. Pakaiannya serba hitam. Lambang ’Star Of David’ terpampang
besar pada baju T yang dipakai Amira. Amira yang melihat kelibat ayahnya berasa
kecut. Kali ini dia sungguh takut akan kelibat ayahnya. Walaupun ayahnya sering
membelanya terutama apabila berhadapan dengan cikgu Zailan, kali ini dia tidak
pasti sama ada ayahnya akan membelanya atau tidak. Daripada renungan mata
ayahnya dia dapat rasakan bahawa ayahnya tidak akan menyebelahinya. Dia amat
pasti tentang perkara itu. Amira cukup masak dengan perangai ayahnya. Terutama
ketika marah.
”Kami membuat serbuan ketika anak
encik dan kawan-kawannya sedang menjalankan upacara ritual yang mereka panggil
’gig’. Mereka menjalankan upacara pemujaan syaitan.” Terang pegawai muda dari Jabatan Agama Islam itu. Tersirap
darah Razak mendengarnya.
”Kami juga mendapati anak encik
memakai ini. Beberapa orang kawannya juga turut memakai benda ini.” Pegawai
muda itu menyambung cakapnya sambil menunjukkan seutas rantai yang tergantung
lambang salib dalam keadaan terbalik. Berdentum jantung Razak melihat benda
yang ditunjukkan pegawai muda itu. Jantungnya terasa bagaikan dipanah petir.
”Dan,” pegawai
itu berhenti seketika. Dia menatap wajah Razak. Razak menanti
dengan berdebar-debar.
”Ujian air kencing yang dilakukan
oleh pihak berwajib mendapati anak encik
positif mengandung. Ujian dadah akan diketahui dalam masa terdekat.” Kata-kata
itu menyebabkan pandangan Razak tiba-tiba menjadi kabur. Buat pertama kalinya
setelah melangkah ke alam dewasa, air mata Razak menerjah membasahi pipinya.
Razak
membuang pandangannya ke arah tingkap,
menatap ufuk jingga yang kian
melabuhkan tirainya dikaki langit. Ufuk jingga itu akhirnya beransur-ansur hilang dipanah kelam. Malam akan berlabuh
sebentar lagi.
No comments:
Post a Comment